Tuesday, March 17, 2009

Master of Heritage Conservation – M.Herit.Cons.

DERAF PERTAMA
edisi versi bahasa melayu

1.0 Tajuk

Pendekatan Dalam Pengurusan Fasiliti Bangunan Dari Segi Pemuliharaan Fizikal Senibina Warisan Bangunan Kerajaan Di Malaysia.

2.0 Sinopsis Kajian / Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap keberkesanan dalam pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan kerajaan yang sediaada di Malaysia. Penekanan terhadap pemuliharaan warisan bangunan kerajaan adalah penting bagi mengekalkan nilai-nilai sejarah, identiti tempatan dan bijak menguruskan aset fasiliti fizikal kerajaan yang amat berharga. Ianya penting supaya tidak melibatkan peruntukkan kewangan yang banyak untuk diselenggara dan secara tidak langsung masih mengekalkan nilai-nilai estetik sejarah dan aspek rupabentuk senibina dan fizikalnya. Objektif pertama kajian ini adalah mengenalpasti pemuliharaan fizikal senibina warisan terhadap bangunan kerajaan. Manakala objektif kedua adalah mengkaji keberkesanan pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan kerajaan dari segi aspek perancangan rekabentuk pengkajian ini mengenalpasti parameter-parameter dan elemen-elemen utama untuk mengenalpasti jenis pemuliharaan seperti metodologi terhadap pemuliharaan, pemuliharaan dari segi teori dan sejarah, rebentuk baru di dalam pengukuran lama (old setting), prosedur perancangan, pemuliharaan material terhadap bangunan traditional dan pemuliharaan terhadap kemasan. Pengumpulan sampel melalui kajian kes juga dilakukan dengan memilih beberapa bangunan kerajaan di Australia dan Malaysia sebagai model/sampel bagi mengenalpasti kaedah pemuliharaan warisan bangunan kerajaan. Semua kajian ini diperolehi melalui kajian literatur dan kerja khusus di dalam kelas bagi subjek (core study) dan elektif yang disediakan oleh pihak universiti. Secara rumusan kajian ini dapat memberi satu cadangan dalam pendekatan pengurusan fasiliti bangunan yang memberi khusus kepada pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan-bangunan kerajaan di Malaysia.

3.0 Misi Kajian

Menyediakan perkhidmatan pakar yang lebih spesifik iaitu pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan-bangunan kerajaan yang bertaraf antarabangsa seiring dengan dasar Rangka Strategi JKR 2007-2010 (JKR Strategic Framework 2007-2010) yang ingin menjadikan JKR sebagai pusat kecemerlangan dalam pengurusan aset, pengurusan projek dan kemudahan kejuruteraan bagi pembangunan infrastuktur negara melalui kreativiti dan inovasi.

4.0 Objektif Kajian

“Heritage Conservation is critical to job creation and poverty alleviation - A good heritage conservation strategy should be linked to the local economy, in order to create jobs and alleviate poverty - particularly in developing countries.”

Objektif utama kajian ini adalah difokuskan kepada dua perkara iaitu:

1.Mengenalpasti pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan yang bersejarah khususnya bagi fasiliti awam iaitu bangunan kerajaan di Malaysia.

2.Mengkaji keberkesanan pemuliharaan fizikal senibina warisan bangunan kerajaan dari segi aspek perancangan rekabentuk senibina, material dan kemasan.

5.0 Pengenalan

“Heritage Conservation is more than just history - A good heritage conservation strategy incorporates all aspects of a region's heritage - historical, but also natural and cultural. “

Keunikan Senibina bangunan bersejarah seperti Bangunan Abdul Samad (1897) dan Stesen Keretapi (1911) di Kuala Lumpur serta bangunan-bangunan bersejarah lain di seluruh negara menampakkan bahawa negara kita Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya. Merujuk kepada hasil kajian Inventori Bangunan-bangunan Warisan Malaysia yang telah dilakukan oleh Muzium Negara pada tahun 1992 tedapat lebih daripada 35,000 bangunan sebelum perang di dalam 265 buah bandar yang dikaji di seluruh negara wajar dipulihara. Kesedaran mengenai kepentingan memulihara bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat. Ini adalah kerana bangunan bersejarah memiliki elemen estetik dan ciri senibina yang unik serta harus diwarisi hingga ke generasi yang akan datang. Jesteru itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah perlu dilakukan agar generasi akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya. Menurut pendapat (Ahmad, 1997; Fileden, 1997), antara kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah ialah:

1.Bangunan bersejarah mempunyai nilai nostalgia, senibina, estetik, sejarah, dokumentari arkeologi, ekonomik, sosial dan juga politik serta rohani.

2.Bangunan bersejarah berupaya memberi imej dan identiti pada rupabentuk bandar dan budaya setempat.

3.Lokasi dan kawasan persekitaran bangunan bersejarah berupaya untuk menarik minat para pelancong seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan.

4.Bangunan bersejarah sedikit sebanyak akan mengingatkan kita kepada sejarah penjajahan masa lampau seterusnya memberi iktibar kepada generasi akan datang tentang sejarah silam tanahair serta meningkatkan semangat patriotisma.

Di dalam konteks kajian kes ini, mengikut Senarai 50 Warisan Kebangsaan yang dilakukan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia; Julai 2007 menyenaraikan antara bangunan kerajaan yang diwartakan warisan adalah Bangunan Parlimen, Istana Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Dewan Bandaraya, Bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu, Bangunan Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Bangunan Jabatan Kerja Raya, Residency Building Jalan Dato’ Onn, Masjid Negara dan Makam Pahlawan dan Carcosa Sri Negara.

Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab untuk kita sebagai sektor kerajaan sebagai penyedia kepada kemudahan pakar dalam aspek pemuliharaan supaya ianya terpelihara dan dijaga dengan baiknya supaya identiti, sejarah dan nilai-nilai senibinanya dapat dipertahan sehingga generasi akan datang.

5.1 Definisi Pemuliharaan (Conservation)

Kamus Oxford-Fajar (2004:79) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja memulihara dalam bentuk yang sedia wujud. Burden (2004:62) mendefinisikan pemuliharaan sebagai pengurusan bangunan untuk mengelakkan kereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan, dan ia merangkumi perekodan sejarah bangunan dan pendekatan pemuliharaan yang telah dijalankan sebelumnya. Fielden (1994:3) pula berpendapat bahawa pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambilkira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan semulajadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan bersejarah itu agar berasa kagum terhadap nilai artistiknya. Contoh pendekatan pemuliharaan ialah seperti pada Projek Pemuliharaan Rumah Kedai Era Belanda yang terletak di No. 8, Heeren Street, di Zon Warisan Melaka oleh Badan Warisan Malaysia. Kerja pemuliharaan yang bermula pada 3hb. Ogos 2001 ini telah siap pada 21hb. Mac 2005. Bangunan rumah kedai dua tingkat ini telah berjaya dipulihara dengan mengekalkan ciri-ciri rekabentuk senibinanya yang asli sebagai bukti bahawa bangunan lama boleh dipulihara ke satu tahap yang tinggi seterusnya memanjangkan lagi usia dan keperluan fungsinya. (Badan Warisan Malaysia, 2006a).

6.0 Skop Kajian

Skop kajian ini akan memberi tumpuan kepada salah satu agenda dasar iaitu di dalam pengurusan aset fasiliti yang menjadi salah satu teras dalam rangka kerja JKR Strategic Frameworks 2007-2010. Sebagai contohnya bangunan di sektor awam iaitu premis-premis dan bangunan-bangunan kerajaan seperti pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, kem tentera, balai polis dan sebagainya. Kajian ini juga akan menumpukan kepada keberkesanan pemulihan fizikal senibina bangunan bersejarah kerajaan

Kajian ini akan memfokuskan hanya kepada bangunan kerajaan serta kajian kes yang dilakukan terhadap bangunan kerajaan di Australia.

Walaupun kajian ini dicadangan dibuat di negara Australia sebagai pilihan pertama dan United Kingdom sebagai pilihan kedua kerana adalah dijangkakan hasil penemuan kajian ini boleh dijadikan model kepada tahap keberkesanan pemuliharaan bangunan yang menjadi salah satu skop kepakaran yang lebih spesifik dalam senibina terhadap salah satu dasar Rangka Strategi JKR 2007-2010 iaitu dalam pengurusan aset fasiliti.
7.0 Metodologi Kajian

Metodologi kajian ini adalah berdasarkan kepada tiga kaedah utama iaitu:

1.Tinjauan penulisan kajian literatur (literature review) yang lepas mengenai kajian. Kajian literatur juga dibuat terhadap dasar dan amalan pengurusan penyenggaraan yang dilaksanakan di sektor awam.

2.Kajian kes bangunan-bangunan kerajaan yang lebih maju dan tahap pemuliharaan yang konsisten sebagai model kepada pembentukan rupabandar yang mengekalkan pemuliharaan bangunan yang maksimum tanpa menjejaskan budaya, ekonomi dan nilai-nilai senibina.

3.Pemahaman pembelajaran dalam subjek yang diperkenalkan oleh univeriti iaitu metodologi terhadap pemuliharaan, pemuliharaan dari segi teori dan sejarah, rebentuk baru di dalam pengukuran lama (old setting), prosedur perancangan, pemuliharaan material terhadap bangunan traditional dan pemuliharaan terhadap kemasan.

Aliran proses kajian ini secara umumnya mempunyai beberapa peringkat pelaksanaan yang utama iaitu:

a. Peringkat pemilihan tajuk dan penetapan objektif kajian.
b. Peringkat merangka metodologi kajian.
c. Peringkat analisis data dan penemuan
d. Peringkat rumusan dan cadangan.


8.0 Justifikasi Dan Kepentingan Kajian

“A good heritage conservation strategy should also have well-being and human security as some of its eventual goals for the local community.”

Secara amnya bangunan-bangunan kerajaan dan fasiliti fizikal yang terdapat di sektor awam di Malaysia adalah terdiri daripada premis-premis pejabat-pejabat kerajaan, hospital, sekolah, kem tentera, balai polis, universiti, kompleks sukan dan sebagainya. Premis-premis dan bangunan-bangunan kerajaan ini hendaklah perlu diselenggara dengan cara yang terbaik supaya fungsi setiap jabatan tidak terjejas.

Seperti yang kita sedia maklum, Y.A.B Timbalan Perdana Menteri turut membangkitkan tentang masalah penyenggaraan terhadap kemudahan kemudahan awam yang lemah dan tidak memuaskan. Dalam hal ini beliau telah menegaskan bahawa negara kita mempunyai “first world infrastructure but third world mentality”. Dengan sendirinya kenyataan beliau ini mencerminkan bahawa masalah penyenggaraan bukan sahaja membebankan Kerajaan dan pengguna malah ia turut menimbulkan tanggapan negatif di kalangan warga asing yang terdiri dari pelabur-pelabur dan pelancong dari luar negara, terhadap budaya penyenggaraan kemudahan awam di negara ini (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, 2003)

Bangunan kerajaan dan fasilitinya adalah aset Negara yang perlu dititik beratkan dan diurus dengan sempurna. Kegagalan penyenggaraan bangunan Kerajaan boleh memberi kesan negatif kepada rakyat terhadap keberkesanan kerajaan dalam mengurus negara. Amat penting semua pihak menekankan keberkesanan Pengurusan penyenggaraan fasiliti di sektor awam bagi menjamin kehidupan rakyat yang sempurna dan berkualiti.

Kajian ini juga penting kerana pada masa kini Jabatan Kerja Raya telah mengeluarkan satu dasar iaitu JKR Strategic Framework 2007-2010 mengenai halatuju jabatan sebagai penyedia kepada kemudahan kejuruteraan yang bertaraf antarabangsa dan menjadikan jabatan sebagai pusat kecemerlangan di dalam pengurusan aset, pengurusan projek dan kemudahan kejuruteraan bagi pembangunan infrastruktur di negara ini.

Dengan wujudnya rangka strategik tersebut, dan pelaksanaannya telah pun dijalankan. Pelaksanaan yang telah dilakukan dengan mewujudkan bilangan ahli profesional dalam pelbagai bidang untuk memenuhi kompetensi yang diperlukan seperti contoh pengurusan aset yang terkandung di dalam pelan strategi pembangunan kompentensi modul insan.

Dari pengwujudan rangka strategi tersebut bilangan pegawai profesional yang telah dihantar bagi memenuhi tahap kompentensi tersebut telah dilakukan oleh yang demikian sebagai cadangan penambahbaikan dalam rangka strategi ini kajian ini lebih kepada pengkhususan (spesifik) kepada aspek pemuliharaan yang melibatkan bidang senibina yang begitu penting dan masih kurang di jabatan mahupun negara ini. Dengan erti kata lain pengkhususan subjek pemuliharaan ini adalah penting dalam menghasilkan profesional yang pakar dan merupakan salah satu cabang yang perlu ada dalam pengurusan aset fasiliti fizikal bangunan dalam konteks ini melibatkan bangunan warisan milik kerajaan.

Dengan kajian ini juga satu cadangan polisi dan undang-undang yang berkaitan pemuliharaan terhadap bangunan kerajaan bersejarah dapat dikuatkuasakan bagi menjaga nilai-nilai estetik value, perancangan yang betul tanpa menjejaskan imej asal, budaya setempat (sences of identity) dan pembaziran wang pada masa hadapan.


9.0 Rujukan

JKR Strategic Frameworks 2007-2010

Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2003
Arahan Penyelenggaraan Bangunan Kerajaan Di Putrajaya

Ucapan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia

http://www.badanwarisan.org.my/conservation/8heeren.php,September 2006.

http://www.hbp.usm.my/conservation/ConsProject/Fortarticle.htm, September 2006.

ICOMOS (2002). Conservation Guidelines for Building Surveyors. Australia ICOMOS, Victoria.

Hawkins, J.M. (2004). Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar. Penerbit Fajar Bakti, Selangor.

Fielden, B.M. (1994). Conservation of Historic Buildings. Architectural Press, Oxford.

Idid, S.Z. (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.

Building Conservation Site by Dr. A. Ghafar Ahmad

http://buildingconservation.blogspot.com

No comments: